Peranan dan Aktiviti Lembaga Lebuhraya Malaysia

Tujuan

Tujuan penubuhan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 1980 adalah untuk merancang, merekabentuk, membina dan menyenggara lebuhraya tol di seluruh Semenanjung Malaysia.

Lebuhraya tol yang pertama yang telah dirancang, direkabentuk, dibina dan disenggara di bawah pengawasan LLM ialah Lebuhraya Utara Selatan. Jajaran lebuhraya ini telah disiapkan secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan dimasa itu. Tarikh-tarikh pembukaan bagi bahagian-bahagian jajaran berkenaan adalah seperti di jadual.

Ekoran dari dasar penswastaan kerajaan, Lebuhraya berkenaan dan lain-lain lebuhraya selepas itu telah diswastakan.

Pada bulan Mac 1988 perjanjian konsesi penswastaan Lebuhraya Tol Utara - Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang telah di tandatangani, iaitu penswastaan projek infrastruktur yang terbesar yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Malaysia, untuk membina baki Lebuhraya Tol Utara - Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang. Perjajian ini adalah untuk selama 30 tahun mulai 1 Jun 1988 dan penyerahan sepenuhnya operasi tol bagi bahagian-bahagian lebuhraya yang telah siap dibuat dalam bulan Disember 1988.

Peranan Yang Dilaksanakan Oleh LLM Selepas Penswastaan Lebuhraya

LLM memainkan peranan penting dalam mengesan, mengawal, menyelaras dan memberi khidmat nasihat kepada syarikat - syarikat konsesi dalam urusan operasi dan penyenggaraan lebuhraya bagi pihak kerajaan. Bagi Semua lebuhraya yang sedang beroperasi aspek penyenggaraan adalah amat penting. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kesemua lebuhraya tersebut selamat dan selesa. Kerja - kerja penyenggaraan dan pengawasan dibuat melalui Pejabat - Pejabat Wilayah LLM.